Monday, August 15, 2011

apam polka dot??



Apam Polka Dot bagaikan menjadi satu fenomena. Enak dimakan dan rupanya juga comel. Sangat sesuai dijadikan hadiah dan cenderahati. Bagi yang mahu menjana pendapatan, ia juga boleh dijadikan perniagaan.

Di sini saya ingin berkongsi resepi apam polka dot bersama anda semua.


Apam Polka Dot

Bahan-bahan:
3 biji telur Gred A
275 gram tepung gandum
220 gram gula halus
150 ml susu segar @ susu cair
3 sudu teh baking powder
1 sudu teh ovalette
Filling - jem blueberry, nenas atau mengikut cita rasa anda
Pewarna
Paper cup

Cara-cara memasak:
  1. Masukkan telur, gula dan ovalette ke dalam mangkuk dan pukul sehingga kembang.
  2. Masukkan susu dan pukul lagi.
  3. Setelah sebati, masukkan tepung dan baking powder. Pukul sehingga rata.
  4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian dan warnakan adunan mengikut citarasa.
  5. Masukkan setiap adunan ke dalam piping bag.
  6. Picitkan adunan ke dalam mangkuk kertas (paper cup) setengah sahaja. Masukkan filing ke dalamnya.
  7. Picitkan lagi adunan yang sama atau warna yang berbeza sehingga penuh.
  8. Kemudian dot-dot kan dengan warna yang berbeza. Kukus selama 15 minit atau sehingga masak.
Selamat mencuba!!


Inilah hasil yang saya buat. Comel kan?

Sunday, August 14, 2011

Kuih oh Kuih...

Bulan Ramadhan memang banyak hikmahnya. Saya, adik dan sepupu mengambil peluang menjual kuih-muih untuk berbuka puasa. Alhamdulillah banyak sokongan diberikan. Secara jujurnya, ini bukanlah kemahiran kami. Namun, setiap usaha ada manfaatnya.

Setelah membuat dan menjual kuih sendiri. Barulah kami faham betapa pentingnya segulung ijazah. Mengapa perlunya pelajaran yang tinggi. Kehidupan pembuat kuih bukanlah mudah. Tambahan pula yang berniaga kecil-kecilan. Saya kagum dengan para peniaga yang jujur dan gigih dalam kerjaya mereka.

Ramadhan ini memberi makna yang sangat besar. Terima kasih Ya Allah.

Thursday, July 21, 2011

Tart Nenas: Warisan Turun Temurun...


Tart Nenas

Bahan-bahan untuk Tart:

1 biji telur
250g butter
400g tepung gandum
1 sudu makan marjerin
3 sudu makan gula icing
4 sudu makan tepung kastad
2 sudu makan tepung jagung
Vanilin


Bahan-bahan untuk inti:

Sebiji nenas (diparut)
3 cawan gula pasir
Pewarna kuning
Sedikit garam

Cara membuat tart:
  1. Masukkan butter, marjerin dan gula ke dalam mangkuk. Pukul bersama.
  2. Masukkan telur dan pukul lagi.
  3. Masukkan semua tepung dan gaul dengan senduk.
  4. Uli dan terap mengikut acuan.
* Sekiranya adunan lembik, tepung jagung dan gandum boleh ditambah. Tetapi jika tepung jagung berlebihan, kuih akan menjadi keras. Jika tepung gandum berlebihan, bunga tart akan jatuh.


Cara membuat inti:
  1. Ambil nenas yang telah diparut dan tapiskan untuk mengeluarkan air yang berlebihan.
  2. Setelah itu, masukkan nenas ke dalam periuk dan kacau di atas api perlahan.
  3. Masukkan gula dan sedikit garam. Kacau lagi sehingga gula cair dan sebati dengan nenas.
  4. Setelah kelihatan likat, masukkan sedikit pewarna kuning.
  5. Bentukkan bulat-bulat untuk diletakkan di atas tart.
  6. Selepas itu, tart yang telah siap diterap dan diletakkan inti boleh dibakar. Bakar dengan suhu 180 darjah Celcius selama 15 minit atau sehingga masak.




Monday, June 20, 2011

kEk bAtik..

Rasa sayang tengok butter yang tak digunakan dalam peti sejuk. Terasa nak buat kek, tapi butter tu tak mencukupi. Tiba-tiba teringat pula resepi kek batik. Mudah dan senang. Bahan-bahan lain memang dah sentiasa ada di rumah. Sukanya!!


Kek Batik

Bahan-bahan:

1 cawan serbuk koko
1 cawan Milo
1 tin susu pekat
200g butter atau mentega
1 pek biskut Marie


Cara-cara menyediakan:
  1. Panaskan periuk. Kemudian masukkan butter ke dalam periuk. Biarkan sehingga cair sepenuhnya.
  2. Masukkan serbuk koko, Milo dan susu pekat. Kacau supaya tidak bergentel.
  3. Apabila semuanya sebati, padamkan api. Masukkan biskut Marie yang telah dihancurkan ke dalam adunan dan kacau rata.
  4. Setelah itu, masukkan adunan di dalam loyang. Padatkan adunan dan sejukkan di dalam peti sejuk.


Inilah hasilnya setelah disejukkan.


***Kurangkan susu jika tidak mahu terlalu manis.

Tuesday, April 19, 2011

Resipi Masa Berkhemah??

Beberapa bulan lepas, saya ada menyertai perkhemahan wajib untuk subjek Recreation 1. Seronok sekali. Setiap kumpulan bebas untuk menentukan menu masing-masing. Pelbagai juadah disediakan sepanjang perkhemahan. Ada kumpulan yang menyediakan spagetti sebagai santapan. Bagaikan ada pesta di tapak perkhemahan apabila tiba waktu memasak. Semua mengambil bahagian tidak kira lelaki ataupun perempuan. Semangat kerjasama dan setiakawan terlihat di mana-mana.

Resipi sarapan pagi kumpulan saya pada hari pertama ialah sandwich telur dan sardin. Sarapan pada hari kedua pula ialah cucur ikan bilis bersama kentang, cili dan bawang. Sungguh menyelerakan. Ini resipinya.


CUCUR IKAN BILIS BERSAMA KENTANG, CILI DAN BAWANG

Bahan-bahan:

1 kg tepung gandum
3 biji kentang
5 biji lada merah
2 biji bawang besar
150 g ikan bilis
1 jag air
Garam secukup rasa

Cara membuat:

  1. Hiris lada merah dan bawang besar. Kentang dipotong dadu.
  2. Masukkan tepung ke dalam bekas. Masukkan air sedikit demi sedikit. Gaulkan bersama sehingga menjadi adunan lembut.
  3. Masukkan sedikit garam. Kacau sebati.
  4. Kemudian masukkan lada merah, kentang, ikan bilis dan bawang besar. Gaulkan bersama.
  5. Setelah itu, panaskan minyak masak di dalam kuali. Masukkan adunan dengan menggunakan sudu ke dalam kuali. Goreng adunan tadi sehingga kekuningan.
  6. Hidangan ini boleh dihidangkan bersama sos.

Selamat mencuba!! Resipi semasa berkhemah ini..