Susah juga kalau jadi tukang masak di rumah, setiap hari perlu berfikir,
"Apa aku nak masak makan tengah hari nanti?"
Sesekali online mencari resipi baru sebagai variasi kepada pengetahuan yang sedia ada. Sesekali bertanya nenek atau makcik tentang petua-petua dalam masakan mereka.
Nenek pun berkata, "Lama tak makan masak lemak cili api ikan masin dengan nenas..."
Saya pun terus menghidupkan enjin motor dan bergerak terus ke kedai berhampiran untuk mencari ikan masin dan nenas.
Jadi saya rasa mahu berkongsi resipi ini dengan semua. Resipi dari nenek turun-temurun.
Masak Lemak Cili Api Ikan Masin dengan Nenas
Bahan-bahan:
1 batang serai
1 helai daun kunyit
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
7 biji cili api
1 ulas kunyit hidup (bersaiz sederhana)
1 biji nenas (separuh masak)
2 keping isi ikan masin
Cara-cara:
1. Bawang merah, bawang putih, kunyit hidup dan cili api hendaklah dikisar bersama. Batang serai hendaklah dititikkan terlebih dahulu. Nenas hendaklah dipotong kecil-kecil.
2. Masukkan semua bahan yang dikisar ke dalam periuk dan biarkan sehingga naik bau.
3. Kemudian masukkan santan cair dan kacau perlahan. Masukkan ikan masin yang dihiris kecil-kecil ke dalam periuk.
4. Masukkan santan pekat dan kacau perlahan. Setelah itu, masukkan daun kunyit dan batang serai.
5. Masukkan buah nenas setelah kuah tadi mendidih buat kali pertama. Kacau perlahan untuk mengelakkan pecah minyak.
6. Biarkan mendidih sekali lagi dan juadah ini sedia dihidangkan.
***Tips Memasak:
- Menurut petua orang tua-tua, masakan akan menjadi lebih pedas sekiranya bilangan cili yang digunakan adalah ganjil.
- Apabila nenas digunakan dalam masakan ini, asam jawa atau asam keping tidak diperlukan kerana buah nenas telah memberi rasa masam ke dalam kuah.
- Garam tidak perlu ditambah lagi kerana ikan masin telah memberikan rasa masin dalam masakan anda.
- Serbuk kunyit juga boleh digunakan sebagai pengganti kunyit hidup.
- Jenis ikan masin yang ingin digunakan bergantung kepada citarasa anda. Ikan masin yang biasa digunakan ialah ikan kapak, ikan sepat, dan ikan tenggiri.
No comments:
Post a Comment