JAGUNG
Bijirin juga mempunyai banyak khasiatnya, antaranya ialah jagung atau nama saintifiknya Zea mays yang berasal dari keluarga Gramineae. Tumbuhan ini kaya dengan protein, vitamin B, kalsium, fosforus, zat besi dan sejenis minyak bermutu tinggi yang baik untuk kesihatan. Amalan memakan jagung boleh menguatkan tulang, gigi, rambut dan hati. Ia juga boleh menurunkan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah, melancarkan pengaliran darah serta melawaskan kencing.
Jagung dan produk jagung seperti emping, minyak, tepung dan kanji amat baik dimakan oleh mereka yang menghadapi masalah ketika membuang air kecil seperti kencing yang tidak dapat ditahan, kencing terlalu kerap, sakit ketika kencing dan radang pundi kencing. Kulit jagung pula berkesan untuk mengatasi kesulitan ketika membuang air kecil. Bulu jagung yang halus merangsang serta melawaskan kencing, menguatkan hati dan menurunkan tekanan darah. Caranya ialah dengan merebus semangkuk bulu jagung dan dua gelas air. Biarkan airnya mendidih sehingga airnya kering menjadi kira-kira satu gelas kemudian diminum dua kali sehari. Kulit dan bulu jagung juga digunakan untuk mengubati kudis atau luka yang bernanah. Kulit dan bulu halus jagung itu ditumbuk halus sebelum ditampal pada kudis dan biarkan hingga kering.
BARLI
Pokok barli yang berasal dari keluarga Gramineae, dikenali sebagai Hordeum vulgarae dari segi saintifiknya dan menyerupai pokok gandum yang banyak ditanam di negara-negara Barat. Barli sejenis bijirin yang kaya dengan protein dan vitamin E, banyak digunakan untuk membuat roti, minuman dan berbagai jenis makanan yang berkhasiat. Air rebusan barli baik untuk memulihkan tenaga bagi mereka yamg baru sembuh daripada penyakit. Ia menyejukan badan, melegakan sakit kerongkong dan amat berkesan untuk meredakan masalah perut meragam. Barli juga boleh menambah selera makan dan membantu proses penghadaman makanan. Ia digunakan dalam rawatan tradisional untuk melegakan penyakit bronkitis dan merupakan salah satu daripada ramuan-ramuan asas dalam penjagaan kulit muka.
KACANG SOYA
Kacang soya merupakan sejenis makanan popular di Malaysia. Bijirin ini digunakan oleh penduduk tempatan sama ada untuk membuat tempe, tauhu dan kicap, juga diproses untuk mendapatkan ‘susu’nya yang berkhasiat. Pokok kacang soya yang berasal daripada spesies Glycine max dalam keluargaLeguminosae, biasanya tumbuh rendang setinggi dua meter dan mengeluarkan bunga putih atau ungu. Kacang soya mengandungi 48 peratus protein, lesitin, vitamin dan zat galian. Kandungan kolesterol yang rendah dalam makanan yang diproses daripada kacang soya membantu menghindarkan penyakit jantung dan kencing manis. Sementara minyak yang diproses daripada bijirin ini mempunyai banyak khasiat dari segi perubatan. Ia membantu peredaran darah, menghapuskan kesan-kesan keracunan makanan, meredakan demam dan bertindak sebagai penawar untuk keracunan makanan.
BADAM
Badam penting untuk kesihatn kerana khasiatnya yang pelbagai, ia boleh dimakan mentah, dikukus seperti kekacang atau dijadikan bahan campuran makanan seperti kuih dan sebagainya. Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yamg tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain. Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalm telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju. Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka.
No comments:
Post a Comment